PERKARA YANG DISUNATKAN BAGI ORANG BERPUASA
- Bersahur walaupun sedikit makanan atau minuman pada waktu akhir malam. Tujuannya ialah supaya menambahkan kekuatan berpuasa.
- Menyegerakan berbuka setelah yakin matahari telah terbenam.
- Berdoa sewaktu berbuka dan maksud doa : “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau aku berpuasa dan dengan rezeki Engkau aku berbuka, dahaga hilang dan urat-urat telah menyedut makanan, mudah-mudahan Allah menetapkan ganjaran-Nya”
- Berbuka dengan buah korma atau sesuatu yang manis atau dengan air.
- Memberi makanan atau minuman kepada orang untuk berbuka puasa.
- Memperbanyakkan amalan kebajikan seperti bersedekah dan sebagainya terhadap kaum kerabat yang lemah dan fakir miskin.
- Memperbanyakkan membaca al-Quran dan berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. sama ada pada waktu malam atau siang. Ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadhan akan diberi pahala yang berlipat ganda.
- Menjauhkan diri daripada percakapan-percakapan yang tidak berguna dan buruk seperti mengumpat, mencela dan sebagainya. Memang telah dimaklumi bahawa perkara-perkara itu dilarang, tetapi perkara-perkara seperti itu jika dilakukan pada bulan yang mulia ini dosanya lebih besar.
- Menyucikan diri (mandi junub) bagi orang yang berhadas besar sebelum naik fajar.
PERKARA YANG MAKRUH BAGI ORANG BERPUASA
1. Berbekam atau mengeluarkan darah penyakit melalui kulit kepala.
2. Memamah sesuatu yang tidak boleh hancur.
3. Menyedut air yang berlebihan ketika berwuduk.
4. Mengucup isteri.
5. Masih dalam keadaan berjunub semasa sudah masuk waktu subuh.
6. Memberus gigi atau berkumur-kumur selepas tergelincir matahari.
BEBERAPA MASALAH MENGENAI PUASA
Melewatkan Qada Puasa
Orang yang melewatkan qada puasanya sehingga sampai puasa berikutnya, sedang ia mampu untuk berbuat demikian, ia wajib mengqadakannya serta membayar fidyah, iaitu memberi makan fakir miskin dengan kadar satu hari secupak beras atau yang sama dengannya.
Junub Sampai Pagi Hari Puasa
Ada orang menyangka bahawa berkeadaan junub sampai terbit fajar hari puasa membatalkan puasa. Sebenarnya sangkaan tersebut tidak benar. Tetapi sebaik-baiknya (sunat) orang yang berjunub segera mandi sebelum terbit fajar, kerana dikhuatiri terjadi hal yang membatalkan puasa.
Menggantikan Puasa Orang Lain
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sebab uzur, kemudian ia meninggal dunia sebelum sempat mengqadanya, umpamanya uzur yang terus menerus sampai mati, ia tidak berdosa. Puasa yang ditinggalkan itu tidak wajib diqada dan tidak pula wajib fidyah. Sekiranya ia meninggal dunia sesudah ada kemungkinan untuk mengqada, tetapi tidak dilakukannya, keluarganya wajib mengqada puasa yang ditinggalkan itu. Hal ini berdasarkan hadis dari Aisyah r.a. yang bermaksud..
“Rasulullah s.a.w. bersabda ; Sesiapa yang mati dan meninggalkan kewajipan puasanya, hendaklah walinya berpuasa untuk menggantikannya” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Makan Kerana Lupa Atau Dipaksa
Orang yang termakan pada siang hari puasa atau menyangka belum naik fajar atau menyangka matahari telah terbenam, puasanya tetap sah dengan syarat ia hendaklah terus berhenti dan meluahkannya sebaik sahaja ia sedar. Demikian juga orang yang dipaksa makan.
Mimpi Berjimak Dan Keluar Mani
Orang yang bermimpi berjimak semasa ia tidur di siang hari, tidak batal puasanya. Demikian juga jika air maninya keluar kerana mengkhayalkan persetubuhan, tidak batal juga puasanya.
Mandi Atau Menyelam Kerana Panas
Orang yang mandi atau menyelam kerana kesangatan panas, tidak merusakkan puasanya.
Merasa Makanan
Merasa makanan dengan lidah dan tidak ditelan tidak membatalkan puasa.
0 comments: